USM Logo APEX logo OFFICIAL23   
           

Login to your account

Username *
Password *
Remember Me
Isnin, 28 September 2026
 

Feng shui di Malaysia

Kepercayaan manusia terhadap sesuatu perkara adalah disebabkan oleh tindak balas yang berlaku pada persekitaran. Masyarakat Malaysia yang mempunyai latar belakang kaum yang unik, sudah pastinya berbeza dari segi adat dan budaya. Masyarakat Cina terkenal dengan amalan Feng Shui.

Feng Shui ialah ilmu astronomi dan geografi yang membantu masyarakat Cina memperbaiki kehidupan. Melalui amalan Feng Shui, mereka dapat membawa kebaikan dalam kehidupan dan selepas kematian. Feng Shui dalam masyarakat India pula yang dikenali sebagai Vasthu Sastra membantu mencapai kese

mpurnaan hidup. Mereka percaya bahawa Vasthu Sastra adalah fakta kehidupan dan bukannya sesuatu yang tahayul. Terdapat persamaan dan perbezaan antara Feng Shui dan Vasthu Sastra dari pelbagai aspek. Contohnya elemen asas dalam  Feng Shui dan juga Vasthu Sastra. Namun, dalam masyarakat Melayu yang berpegang pada ajaran Islam, kepercayaan Feng Shui ditegah kerana amalannya bercanggah dengan prinsip Islam. Sebagai contoh, pembinaan rumah yang tinggi membenarkan aliran udara yang baik.

Kesimpulannya, masyarakat Malaysia mempunyai kepercayaan tersendiri mengikut bangsa dan agama masing-masing.

 

Vasthu Sastra dan masyarakat India

Vasthu Sastra adalah seni bina masyarakat India purba yang menumpukan kepada reka bentuk dan lanskap, dipercayai dibangunkan antara 10,000 S.M. Masyarakat India percaya bahawa sesuatu boleh dibaiki sebelum menyusun semula tempat bekerja atau rumah dengan menggunakan mandala dalam Vaasu.

Mandala adalah satu rajah Vaasu iaitu pengamalnya akan berunding untuk memutuskan reka bentuk terbaik untuk sesebuah bangunan. Vasthu Sastra menggunakan sistem grid tiga lapisan untuk penyediaan susun atur terbaik bagi rumah, pejabat atau tapak perdagangan.

Masyarakat India mempercayai Vasthu Sastra bukan sesuatu yang tahayul, sihir, dan bukan persoalan tentang iman, tetapi adalah satu fakta kehidupan. Vasthu Sastra adalah seni bina India yang sangat lama. Cendekiawan India di zaman purba menciptanya untuk kebajikan manusia. Pengetahuan mengenainya membantu dalam keamanan mental, kesihatan, dan kekayaan.

Lima elemen asas Dalam elemen bumi, pemilihan tapak pembinaan adalah sangat penting. Persekitaran yang hijau, ketersediaan air dan tanah amat sesuai untuk membina bangunan. Elemen air pula berkaitan dengan arah aliran. Aliran air domestik mesti keluar dari Utara ke Timur seperti air di bilik mandi kerana dianggap bertuah.

Elemen kebakaran pula yang melibatkan peralatan dapur, air dan sebagainya perlu diletakkan pada arah Tenggara. Untuk elemen udara ia perlu memasuki bangunan Utara ke Timur. Semua bukaan untuk kemasukan udara seperti pintu, tingkap, penghawa dingin, beranda dan balkoni harus mengikut arah yang betul. Elemen ruang pula mempunyai pengaruh yang banyak dalam mendapatkan tenaga darat tanpa halangan.

Namun, bangunan menjadi penghalang kepada kesan langit terbuka. Secara tradisinya setiap rumah di India mempunyai ruang terbuka atau Court Yard di pusat rumah.

 

Wujudkah feng shui dalam masyarakat Melayu?

Seni ukiran sememangnya terkenal dalam tradisi masyarakat Melayu sejak dari dulu lagi. Menurut pengukir dari Kota Bharu, Latif Long, terdapat beberapa kayu yang mempunyai semangat dari segi fizikal dan batin. Latif berkata orang-orang tua dahulu kala percaya bahawa kayu di hutan belantara mempunyai jenggi atau roh pada pokok dan ini menyebabkan ia berpuaka atau berpenunggu.

Ukiran dan tiang seri rmah “Peletakan kayu untuk tiang seri mempunyai caranya yang tersendiri iaitu dengan meletakkan bahagian akar kayu di pangkal tiang, manakala bahagian pucuk kayu diletakkan pada hujung tiang. “Tukang kayu akan turut serta semasa menebang pokok bagi mengelakkan kekeliruan. Bahagian akar dan pucuk kayu akan ditanda sebelum ditebang,” katanya.

Beliau menjelaskan pada kebiasaannya penebang pokok akan memberi salam kepada pokok dan dan doa-doa tertentu akan dibaca dengan menghadap kiblat sebelum memulakan kerja menebang. Latif berkata sesetengah tukang kayu atau pengukir percaya bahawa mereka perlu berada di dalam hutan dalam tempoh tertentu sehingga mendapat pokok kayu yang bersemangat.

“Bulan Islam yang sesuai untuk ke hutan adalah bulan Ramadan, Syaaban, Zulhijah, Safar dan Rabiulakhir dan kerja-kerja menebang perlu dielakkan pada hari Rabu dan Sabtu. “Sebelum menebang pokok, upacara menepung tawar akan dilakukan untuk menghalau jenggi kayu tidak kiralah semangat itu baik atau jahat,” katanya. Sementara itu, Nik Rashidin yang juga pengukir berkata kayu yang tidak berpenunggu akan menyebabkan sesuatu ukiran yang dihasilkan akan hilang seri dan tiada nilai seni.

“Kayu merbau yang dipercayai menjadi tempat persinggahan makhluk halus misalnya tidak digunakan sebagai bahan binaan rumah terutamanya untuk membuat tiang seri kerana tiang seri adalah nadi atau semangat rumah,” katanya.

Hukum Islam Dalam Islam, Feng Shui adalah bid’ah iaitu sesuatu yang diada-adakan dalam bentuk yang belum ada contohnya sama ada baik atau buruk. Feng Shui terbahagi kepada tiga jenis bid’ah. Pertama, Bid’ah Mubahah kerana Feng Shui menyuruh kita menjaga kelestarian alam dengan cara membataskan pembangunan yang memaksa alam. Kedua adalah Bid’ah Makruhah kerana Feng Shui membuat perhitungan dengan menggunakan kompas  dan  ‘ba gua’  untuk menentukan arah yang baik bagi sesebuah bangunan atau kawasan. Ketiga adalah Bid’ah Muharromah kerana Feng Shui percaya dan yakin terhadap perkara yang bertentangan dengan syariat.

Contohnya, jika seseorang meletakkan benda, lukisan atau tempat air pada lokasi yang ditentukan, maka akan mendapat kemakmuran ekonomi. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahwa: “Ketahuilah bahawa sebaik-baik ucapan adalah kitab Allah (Al-Qur’an), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW dan sejelek-jelek perkara agama sepeninggalku adalah melakukan sesuatu yang baru dalam agama, yang demikian itu disebut bid’ah dan setiap bid’ah itu pasti sesat” (Hadis Riwayat Muslim).

Teori-teori Feng Shui tidak ada dalam dalil syarak, maka ia adalah Bid’ah Sayyiah kerana hal-hal yang diajar Rasulullah dengan bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah tidak dapat dipastikan kebenarannya. Menurut pendakwah bebas, Muhamad Abdullah Al-Amin berkata amalan Feng Shui adalah syirik dan berdosa besar kepada umat Islam kerana ia perbuatan yang menyekutukan Allah.

“Semua perkara ada manfaatnya yang tersendiri dan rezeki seseorang bergantung kepada ketetapan Allah. Ini bukannya ditentukan oleh Feng Shui,” katanya ketika menjawab pertanyaan Mynewshub.my pada 1 Februari lepas. Beliau meminta orang Islam untuk meninggalkan kepercayaan tersebut yang menggunakan pengaruh astronomi dan geografi untuk membantu manusia memperbaiki hidup.

Pembudayaan nilai Islam dalam rekabentuk rumah tradisional Melayu Konsep pembudayaan masyarakat Melayu dahulu memang dikenali sebagai masyarakat yang sangat berpegang teguh kepada ajaran  agama. Reka bentuk rumah tradisional masyarakat Melayu juga mengambil kira batas-batas pergaulan serta hubungan antara lelaki dan perempuan. Syariat Islam mewajibkan bilik tidur di antara anak lelaki dan perempuan diasingkan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti sumbang mahram.

Selain itu, rumah Melayu mempunyai ciri-ciri keislaman yang terdapat pemisahan bagi tetamu lelaki dan perempuan. Ruang beranda lazimnya menjadi tempat bagi kaum lelaki berhimpun sebaliknya ruang tamu dan dapur untuk kaum wanita berbual-bual dan menyediakan hidangan.  Tempayan atau guri diletakkan di setiap anak tangga bertujuan mencuci kaki sebelum menaiki rumah kerana masyarakat Melayu amat mementingkan kebersihan diri dan rumah. Rumah Melayu juga memisahkan bilik air dan tandas daripada struktur rumah seperti binaan masjid atau surau yang memisahkan struktur masjid daripada tandas atau bilik air.

Bentuk binaan tandas Melayu juga menepati tuntutan syariat antaranya tidak mengadap kiblat dan tidak membelakangi kiblat, mestilah tertutup dari pandangan umum, mengelakkan bau busuk, jauh daripada saliran atau sungai, jauh daripada rumah atau penempatan umum.

Aspek keselesaan Struktur tiang rumah yang tinggi bertujuan membenarkan peredaran udara yang baik di bahagian bawah rumah kerana udara dapat mengalir dengan baik melalui celah-celah lantai. Kayu merupakan bahan utama penghasilan rumah tradisional Melayu.

Dari segi keselesaan, binaan daripada  kayu mempunyai tahap penyerapan haba yang rendah sekali gus mengurangkan haba di dalam rumah dan menjadikan penghuni merasa lebih selesa. Struktur bumbung yang dihasilkan daripada daun nipah, diikat dengan rotan nipis. Daun nipah senang diperolehi dan tahan lebih lama serta dapat mengurangkan penyerapan haba secara optima daripada sinaran matahari.

Menanam pokok di halaman dan di sekeliling rumah telah berfungsi sebagai penanda membezakan sempadan tanah dengan orang lain. Maka pagar tidak perlu di kawasan rumah mereka. Pokok-pokok ini akan membebaskan wap air yang akan menyejukkan kawasan sekitar rumah dan halaman.

 

Feng shui dalam masyarakat Cina

Feng Shui adalah ilmu yang berkaitan astronomi dan geografi untuk membantu masyarakat Cina memperbaiki kehidupan, ia wujud lebih 3,500 tahun dahulu. Tujuan utama Feng Shui adalah untuk memilih lokasi yang bersesuaian mengikut kedudukan dan paksi masa dan kini pengaruhnya kian menular ke negara Barat.

Namun, ada juga masyarakat Cina yang tidak mempercayai Feng Shui. Feng Shui terbahagi kepada dua iaitu Yang Feng Shui dan Ying Feng Shui yang melibatkan lima elemen atau ‘Wu Xiang’. Wu Xiang melibatkan lima unsur alam yang dapat mempengaruhi individu iaitu tanah, air, api, kayu dan logam. Semua unsur ini memberi kesan kepada individu dalam aspek kesihatan, kesesuaian hubungan, bakat, pekerjaan, perwatakan dan sifat setiap individu.

Daripada unsur yang terdapat dalam Wu Xiang ini juga, ia memberi pemahaman terhadap kesan sekeliling individu dan menjadi konsep yang penting dalam menganalisa nasib seseorang. Masyarakat Cina percaya bahawa sesuatu yang nyata di dunia ini sama ada jelas ataupun tidak, dikategorikan sebagai tanah, air, api, kayu dan logam. Unsur yang ada dalam setiap individu boleh dinilai mengikut waktu kelahiran di bawah:

Warna melambangkan kerjaya Menurut pengamal Feng Shui, Master Lee Cheng Hoe, warna emas adalah kerjaya yang berkaitan dengan logam, perkakasan, barang kemas, kakitangan kerajaan, peguam, dan industri perbankan. “Warna sesuai ialah warna emas dan warna tanah dan warna tidak sesuai warna api dan warna air kerana ia mencairkan emas. “Warna tanah ialah berkaitan kristal, marmar, jubin dan batu dan kerjaya yang berkaitan ialah industri hartanah, konsultan dan kecantikan,” katanya kepada Berita Kampus.

Tambah beliau, warna yang sesuai ialah warna tanah merah dan warna api manakala yang tidak sesuai ialah warna hijau tumbuhan dan warna emas. Menurut Master Lee, warna air berkaitan kerjaya ialah pengangkutan, kelasi, dan nelayan dan warna sesuai ialah warna air dan warna emas serta warna yang tidak sesuai ialah warna bumi dan warna tumbuhan.

Katanya, warna api berkaitan kerjaya ialah polis, tentera, automotif, industri elektrik, restoran dan sebagainya serta warna sesuai ialah warna api dan warna tumbuhan dan warna tidak sesuai ialah warna bumi dan warna tumbuhan. “Warna tumbuhan ialah kerjaya berkaitan perladangan, restoran vegetarian, industri surat khabar, percetakan dan sebagainya dan warna yang sesuai ialah warna tumbuhan dan warna air manakala warna yang tidak sesuai ialah warna emas dan warna api,” ujarnya.

Pembinaan dan hiasan Tradisinya, feng shui dibahagikan kepada Yang Feng Shui (rumah) dan Ying Feng Shui (perkuburan). Terdapat empat elemen utama dalam menentukan lokasi pembinaan rumah untuk mendapatkan kemakmuran dan kesejahteraan penghuninya. Elemen tersebut ialah Kura-kura Hitam (Black Turtle) atau ‘Huo Xuan Wu’, Pheonix Merah (Red Pheonix) atau ‘Qian Zhu Que’, Naga Hijau (Green Dragon) atau ‘Zua Qing Long’ dan Harimau Putih (White Tiger) atau ‘You Bai Hu’.

Sebuah rumah yang berada di belakang bangunan besar dan tinggi adalah bagus kerana mempunyai sokongan yang kuat atau ‘Kao Shan’ disebabkan ada elemen Kura-kura Hitam. Rumah yang membelakangkan bukit juga memberi petunjuk baik kerana mudah mendapatkan bantuan.

Namun, jika rumah berhampiran pasar yang bising atau pusat hiburan, tidak akan mendapat bantuan yang diharapkan ketika menghadapi kesusahan. Oleh itu, alat perhiasan Feng Shui seperti kura-kura berkepala naga bersama pagoda perlu diletakkan. Selain itu, penghuni akan bertuah jika bangunan di sebelah kiri lebih tinggi daripada tempat kediaman kerana ia membawa unsur Naga Hijau. Selain itu, jika terdapat banyak bangunan, kawasan perumahan, pokok-pokok tinggi dan bukit-bukau di sebelah kiri, akan sentiasa mendapat dorongan untuk melakukan pekerjaan yang diceburi.

Elemen Harimau Putih yang terletak di sebelah kanan rumah haruslah rendah dan tidak boleh tinggi daripada Naga Hijau. Jika keadaannya terbalik, isteri pemilik rumah akan lebih berkuasa daripada tuan rumah.

Kawasan perkuburan Secara umumnya, Feng Shui di tanah perkuburan tidak sama seperti Feng Shui yang diketahui oleh masyarakat. Menurut Master Lee, Feng Shui di tanah perkubur

an memerlukan lebih banyak kepakaran dan pengalaman untuk memperincikan setiap perkara apabila meninggal dunia. Tanah perkuburan perlu memenuhi beberapa kriteria penting agar ahli keluarga yang masih hidup dapat hidup dengan tenang dan bernasib baik.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, kubur mestilah berada di kawasan lereng bukit supaya membawa tuah kepada si mati. Master Lee berkata kawasan yang baik mengikut kepercayaan masyarakat Cina ialah tempat yang membelakangkan bukit yang berunsurkan elemen Kura-kura Hitam sebagai simbolik kepada teras yang kukuh dan mempunyai aliran sungai atau lapangan tanah yang luas di bahagian depannya yang menunjukkan elemen Pheonix Merah. Di bahagian kiri pula perlulah bahagian yang tinggi kerana menunjukkan elemen Naga Hijau. Manakala, di sebelah kanan perlu lebih rendah bagi menunjukkan elemen Harimau Putih.

Berita Kampus Terkini

BK45 06