Kemajuan dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah membuka lembaran baru dalam kehidupan manusia yang dapat menghubungkan masyarakat seluruh dunia tanpa sempadan.
Kewujudan media baru pada zaman ini telah mengubah cara masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain, di mana masyarakat pada masa ini telah menjadikan media baru iaitu laman sosial sebagai medium perhubungan yang utama.
Kini dengan kewujudan laman sosial telah banyak melahirkan golongan keyboard warrior. Keyboard warrior atau dikenali sebagai juara papan kekunci ditafsirkan sebagai individu dalam masyarakat yang cuba menjadi pakar dengan menyampaikan sesuatu pandangan yang dirasakan sahih baginya tetapi hanya berani ‘menyorok’ di sebalik skrin komputer. Kehadiran mereka dirasai seluruh pengguna laman sosial apabila berlaku sesuatu isu.
Dengan lebih lanjut, golongan ini adalah individu yang suka meluahkan kemarahan dan emosinya terhadap sesuatu isu dengan cara tidak langsung. Ini kerana mereka tidak mampu meluahkannya secara langsung. Perlakuan ini terus meluas apabila individu ini cuba mempertahankan pendapatnya walaupun tidak dikira penting oleh orang lain.
Contohnya perdebatan tentang sesuatu isu yang dimuat naik di laman sosial akhirnya menjadi pergaduhan para keyboard warrior yang tidak bersependapat. Isu tersebut akan menjadi semakin besar apabila semakin ramai yang terlibat dalam perdebatan tersebut. Mereka dapat ditafsirkan sebagai ‘baling batu, sembunyi tangan’
Golongan ini wujud adalah disebabkan kebebasan internet yang telah memberi peluang kepada mereka melontarkan apa sahaja bentuk pandangan yang dirasakan betul pada pendapat peribadi mereka. Setiap pandangan yang cuba disampaikan oleh mereka terhadap sesuatu isu mungkin ada yang dilihat berguna dan ada yang negatif.
Hal ini kerana pemilihan kandungan adalah ditentukan oleh pemilik media sosial itu sendiri. Eric Barendt (2009) berpendapat sesiapa sahaja boleh melemparkan pandangan kepada orang lain hanya mewujudkan halaman web atau blog dan seterusnya terlibat dalam perbincangan tersebut.
Jika dibandingkan dengan media massa konvensional, komunikasi dalam internet melalui media sosial adalah tidak dikawal oleh sesiapa kecuali pengendalinya sahaja. Malah tidak ada gatekeepers yang terdiri daripada para editor profesional yang perlu dirujuk bagi mendapat kelulusan terlebih dahulu sebelum sesuatu bahan dimuat naik ke laman sosial.
Dengan adanya kebebasan internet menyebabkan masyarakat bebas bersuara hingga menghasilkan individu bersifat keyboard warrior yang suka menimbulkan spekulasi terhadap sesuatu isu yang sensitif. Hal ini jelas dilihat tatkala negara dikejutkan dengan tragedi kehilangan pesawat Boeing 777-200 Malaysia Airlines MH370 dari radar pada 8 Mac 2014, pelbagai teori dan spekulasi liar ditebak. Tindakan mereka secara tidak langsung boleh menimbulkan kesan yang serius dalam masyarakat.
Spekulasi liar yang tidak berasas itu timbul akibat daripada pengguna laman sosial seperti Facebook, blog yang menekan butang share menyebabkan maklumat tersebut tersebar dengan meluas. Berikutan tragedi tersebut, ramai yang berkongsi maklumat daripada berita yang dimuatkan. Contohnya selepas beberapa hari kejadian kehilangan pesawat, GuaTv Dot Com yang adalah satu laman di Facebook berkongsi gambar kononya pesawat MH370 terapung di lautan Vietnam.
Apabila wujudnya spekulasi seperti ini, secara tidak langsung, ia telah menyebabkan berlakunya lambakan maklumat dan masyarakat akan menjadi keliru dengan maklumat yang terdapat dalam laman sosial. Mereka tidak dapat membezakan antara berita yang benar-benar sahih atau sebaliknya.
Contohnya seperti dalam isu yang dibincangkan di atas, apabila terlalu banyak maklumat yang cuba disampaikan, ia bukan sahaja boleh memberi kesan kepada masyarakat sahaja malah beberapa pihak lain seperti penyelamat dan keluarga mangsa itu sendiri.
Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh The Malaysia Insider pada 20 Mac 2014, bertajuk ‘Ahli keluarga penumpang, anak kapal MH370 tunggu dengan debaran, penuh harapan’, yang menjelaskan, segala perkembangan terbaru diterima dengan berhati-hati oleh ahli keluarga penumpang selepas pelbagai spekulasi yang timbul. Ini menunjukkan kewujudan keyboard warrior yang gemar membuat spekulasi memberi kesan terhadap masyarakat sehingga menyebabkan mereka perlu mendapatkan pengesahan mengenai berita yang diterima. Jelas disini, walaupun terdapat lambakan maklumat, ia memberi kesan negatif jika maklumat tersebut tidak sahih dari segi fakta.
Natijahnya, dengan kewujudan laman sosial ia benar telah mewujudkan golongan keyboard warrior dalam kalangan masyarakat. Walaupun media baru memberi kebebasan kepada masyarakat untuk memberi apa-apa pandangan mengikut pendapat peribadi, namun ia harus dikawal oleh diri sendiri supaya pada akhirnya tidak menimbulkan maklumat yang berbentuk spekulasi.

