Login to your account

Username *
Password *
Remember Me

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Name *
Username *
Password *
Verify password *
Email *
Verify email *
Captcha *
Reload Captcha
Isnin, 23 Oktober 2017

Kajian PPAG di Sungai Batu singkap tamadun Kedah Tua

rencana p12

Bercerita mengenai kegemilangan pensejarahan bangsa Melayu dahulunya, perkara tersebut sering kali dipertikaikan oleh pelbagai pihak. Lebih menambahkan kebingungan, apabila terdapat pihak yang mengatakan bahawa ketika bangsa Melayu ditemui pada suatu ketika dahulu, mereka digambarkan cukup daif dengan hanya mengenakan cawat.
Namun kini, penemuan di Lembah Bujang amnya dan kawasan Sungai Batu khususnya telah membawa satu kejayaan dalam usaha memartabatkan kajian dan penyelidikan pensejarahan bangsa Melayu di Asia Tenggara.
Kajian terhadap Lembah Bujang telah dimulakan H.G. Ouaritch-Wales sejak tahun 1840-an lagi. Terdapat 29 tapak candi yang ditemui di kawasan Lembah Bujang pada ketika itu seperti Candi Bukit Batu Pahat,dan Candi Kampung Pangkalan Bujang. Penemuan-penemuan tersebut telah membuktikan bahawa, wujud sebuah kerajaan masyhur yang menerima pedagang dari seluruh Asia.
Namun, kerajaan yang pada awalnya dikatakan wujud pada kurun ke-5 Masihi ini telah menerima satu dimensi baru dalam pensejarahannya setelah kawasan Sungai Batu ditemui.
Penemuan tapak ekskavasi Sungai Batu yang berkeluasan 4 kilometer (km) persegi bermula apabila Jabatan Warisan Negara (JWN) meminta agar Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk melengkapkan data kawasan Lembah Bujang.
“Walaupun kami telah menerima arahan untuk melengkapkan data Lembah Bujang pada tahun 2007 namun, kerja-kerja ekskavasi oleh PPAG hanya bermula pada tahun 2009 setelah menerima geran penyelidikan di kawasan tersebut daripada JWN dan USM”, terang pengarah PPAG, Profesor Dato Dr Mokhtar Saidin,
Tambah beliau lagi, sewaktu PPAG diberikan kepercayaan untuk melengkapkan data Lembah Bujang, banyak persoalan yang timbul terutamanya mengenai usia artifak, monumen dan  struktur yang ditemui. Setelah meneliti kajian dan penyelidikan sebelum ini, timbul persoalan mengenai tarikh-tarikh kewujudan kerajaan Kedah Tua yang dikatakan pada ketika itu wujud paling awal pun pada kurun ke-4 atau kurun ke-5 Masihi.
Melihat kepada kawasan kajian sebelum ini, beliau dapat merasakan masih ada yang belum diterokai mengenai Kerajaan Kedah Tua ini sedangkan Selat Melaka telah lama wujud dan tidak mustahil kerajaan Kedah Tua juga mungkin telah lama wujud.
“Saya mula melakukan pemetaan semula kawasan tersebut bagi mengenalpasti bentuk muka bumi di kawasan tersebut dan paras air laut sekurang-kurangnya pada kurun pertama Masihi. Hasil pemetaan mendapati, paras air pada kurun pertama berbeza dan penemuan yang telah dijumpai sebelum ini sebenarnya berada di bawah paras air pada ketika itu”, jelas prof Mokhtar
Menurut beliau lagi, setelah keputusan pemetaan siap, beliau telah meninjau kawasan Sungai Batu yang berada jauh ke dalam berbanding kawasan-kawasan tapak ekskavasi sebelum ini. Tinjauan pertama beliau di kawasan ladang kelapa sawit tersebut ternyata tepat apabila kelihatan bongkahan bata telah timbul di permukaan tanah akibat daripada hakisan.
Setelah lima tahun menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Sungai Batu sebanyak 49 buah tapak telah dibuka daripada 97 buah tapak yang ditemui. Tapak-tapak ini memainkan fungsi-fungsi yang berlainan. Sehingga ke hari ini, terdapat empat fungsi-fungsi yang telah dikenalpasti iaitu tapak ritual, tapak pelabuhan, tapak peleburan besi dan tapak pentadbiran.
Misalnya, tapak ritual yang ditemui ialah sebuah struktur bulatan yang dilihat mempunyai ciri-ciri animisme yang mungkin digunakan oleh masyarakat terdahulu untuk menyembah Gunung Jerai yang terletak ke utara kawasan tersebut.
Struktur bongkahan bata yang bersifat setempat jelas membuktikan bahawa senibina tersebut adalah hasil orang tempatan yang mungkin pernah tinggal di kawasan tersebut.
Penemuan tersebut juga membuktikan bahawa bangsa Melayu pada ketika itu, sebenarnya telah memiliki kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan bongkahan bata. Di samping itu, penemuan tersebut telah membuktikan bahawa kepercayaan animisme diamalkan sebelum pengaruh agama Hindu- Buddha tiba di Kedah pada kurun ke-5 Masihi yang kemudiannya disusuli dengan agama Islam pada kurun ke-12 Masihi.
Selain itu, di kawasan tapak peleburan jelas kelihatan bijih besi, sisa besi, tuyere (alat peniup angin) dan sisa relau. Menurut Iklil Izzati Zakaria, pelajar Kedoktoran (PhD), kaedah yang digunakan untuk mendapatkan besi pada ketika itu, ialah dengan meleburkan bahan mentah besi bercampur pasir, arang dan kapur.
Setelah semuanya cair, ianya akan mengalir keluar daripada relau. Realau juga dipecahkan untuk mendapat besi di dalamnya. Hasil kajian mendapati usia perusahaan besi lama ini telah mencecah 380 tahun Sebelum Masihi. Hasil dapatan kajian ini telah membuktikan bahawa masyarakat tempatan pada ketika itu memiliki teknologi dan kemahiran yang tinggi dalam perindustrian besi.
Menurut penulisan I-Ching, seorang pengembara daripada tamadun China mengatakan bahawa beliau telah singgah di Chiah-cha pada ketika itu dan mengambarkan kerajaan Kedah Tua sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan yang teragung di rantau Asia.
Berdasarkan rekod saintis Islam, Al-Biruni dan Al-Kindi, besi di Kedah Tua (Kalah) adalah besi yang terbaik di dunia.
Penemuan Relau Jeniang misalnya, telah membuktikan bahawa masyarakat tempatan pada ketika itu telah memiliki kemahiran yang tinggi dalam pengawalan suhu dan pembuatan relau.
 Penemuan 12 buah tinggalan struktur lama berdekatan dengan kawasan pelabuhan Sungai Batu kuno membuktikan bahawa terdapat urusan pentadbiran yang dilakukan untuk membantu sistem perdagangan Kedah Tua yang mengurus dan mengawal selia kerajaan Kedah Tua yang dikatakan sedang berkembang pesat pada waktu itu.
Terdapat lapan tapak pelabuhan yang telah ditemui dan berjaya diekskavasi di kawasan Sungai Batu kuno. Walaupun keadaan Sungai Batu kuno sudah tidak seperti dahulu lagi namun, masih terdapat laluan air dan tumbuhan paya yang masih boleh dilihat di kawasan tersebut. Tambahan pula, penemuan beberapa lantai jeti di tapak-tapak berhampiran Sungai Batu kuno memberikan gambaran bahawa kawasan tersebut pernah menjadi sebuah kawasan pelabuhan yang pesat. Penemuan tiang layar dan paku di kawasan tasik kuno pula memperkukuhkan lagi bukti bahawa kawasan tersebut sememangnya sebuah pelabuhan lama yang menerima kunjungan banyak kapal-kapal dagang.
Tambah Iklil Izzati  bagi memastikan setiap pentarikhan artifak, struktur dan monumen adalah tepat. Kaedah Optically Stimulated Luminescene (OSL) dan radiokarbon telah digunapakai. Kaedah OSL adalah sebuah kaedah yang digunakan bagi mengkaji usia bongkahan bata dan struktur sesuatu monumen.
Melalui kaedah ini sampel bata akan diambil untuk menentukan tarikh terakhir kuarza di dalam bata tersebut terdedah kepada cahaya matahari yang secara langsung memberikan tarikh bila bata dibuat.  
Manakala kaedah radiokarbon pula melibatkan kajian terhadap usia sisa-sisa arang atau abu dengan mengesan tahap karbon yang ada pada sisa-sisa arang atau abu tersebut. Walau bagaimanapun, kaedah kajian melalui teknologi ini masih belum terdapat di Malaysia dan pentarikhan kawasan Sungai Batu kuno ini dilakukan oleh beberapa makmal di Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Misalnya, makmal Radiocarbon Beta, Florida Amerika Syarikat yang melakukan kajian melalui kaedah Radiokarbon.
Sehingga hari ini tapak kerajaan Kedah Tua dianggarkan telah mencapai keluasan sehingga 1,000 km persegi dan melibatkan hampir sebahagian besar kawasan di utara Kedah. Kronologi pensejarahan Kedah Tua sekarang ini jelas bermula di Sungai Batu.
Ketamadunan kedah Tua sememangnya masih banyak yang perlu dirungkai. Masih terdapat sebanyak 51 tapak yang masih belum diekskavasi dan dibuka serta tidak mustahil pelbagai penemuan dapat diterokai pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, penemuan pada hari ini sudah cukup membuktikan bahawa ketamadunan kerajaan Melayu telah lama wujud di Asia Tenggara lantas menolak fakta kajian sebelum ini yang mendakwa bahawa kerajaan Kedah Tua hanya wujud pada kurun ke-4 dan kurun ke-5 Masihi. Jelaslah bahawa penyelidikan yang dilakukan oleh pihak PPAG, USM telah berjaya untuk membuktikan bahawa pensejarahan ketamadunan bangsa Melayu telah bermula lebih awal, iaitu pada 487 tahun Sebelum Masihi berbanding tarikh yang telah diuar-uarkan sebelum ini
Kejayaan ini telah membawa satu titik tolak baharu kepada pensejarahan bangsa Melayu dan ketamadunan terawal di Asia Tenggara iaitu kerajaan Kedah Tua yang sebenarnya telah mencecah usia sejak 2,200 tahun dahulu.


Calender

« October 2017 »
Mon Tue Wed Thu Fri Sat Sun
            1
2 3 4 5 6 7 8
9 10 11 12 13 14 15
16 17 18 19 20 21 22
23 24 25 26 27 28 29
30 31