Login to your account

Username *
Password *
Remember Me

Create an account

Fields marked with an asterisk (*) are required.
Name *
Username *
Password *
Verify password *
Email *
Verify email *
Captcha *
Reload Captcha
Sabtu, 19 Ogos 2017

Vape: Pengganti atau penaik ketagihan rokok?

Vaping merupakan trend baru dalam kalangan perokok, dan kini menjadi alat pengganti rokok yang terhangat di Malaysia. Dengan memegang sejenis alat elektronik yang direka mirip rokok sebenar, pengguna boleh menghembuskan awan wap yang bebas daripada asap rokok tradisional – kandungannya hanyalah air wap, nikotin, dan pilihan perisa yang disukai.

Apa itu vape?
Vape, yang juga dikenali sebagai rokok elektronik (e-rokok) dipasarkan sebagai pengganti rokok, seperti tampalan nikotin atau pil nikotin, untuk menghentikan tabiat merokok secara beransur-ansur dan juga mengurangkan risiko kesihatan yang dikaitkan dengan rokok tradisional.
Menurut satu ulasan yang diterbitkan oleh Utusan Online, apabila pengguna menghisap e-rokok ini, alat pemanas akan diaktifkan dan menyebabkan cecair di dalam penakung ini mengalami proses pengewapan tanpa sebarang proses pembakaran.
Kandungan cecair ini, yang dikenali sebagai e-liquid atau e-juice kepada pengguna vape, terdiri daripada air, propanol glycol (PG), minyak sayur, perasa, pemanis dan juga nikotin.

LEBIH jimat?
Menurut sebuah laporan yang diterbitkan dalam Malaysian Digest, pengguna vape di seluruh dunia diberikan banyak pilihan jenama dan alat untuk vape, dan e-rokok tersebut berharga antara RM68 (produk buatan China) sehinggalah ke RM960 (jenama Amerika Syarikat) sebatang. Alat vaping yang dianggap berkualiti tinggi akan memakan perbelanjaan sebanyak RM400 dan ke atas. Kos cecair vape pula, botol 10ml berharga RM15 dan boleh bertahan untuk sehari ataupun dua hari, manakala botol 30ml berharga antara RM60-RM100 dan boleh bertahan selama dua minggu.
Harga rokok biasa di pasaran adalah RM 13 sekotak. Perokok membelanjakan RM 91 untuk seminggu. Bagi vape pula, harga cecairnya adalah RM 60 dan mampu bertahan selama dua minggu. Hal ini menunjukkan pengguna vape mampu menjimatkan RM 62 berbanding rokok biasa. Walaupun harga alat vape tersebut tinggi, jika ia digunakan untuk tempoh masa yang lama, vape sememangnya satu alternatif yang lebih menjimatkan.

Kesan asap vape kepada kesihatan
Vape dipasarkan sebagai pengganti rokok yang mengekalkan nikotin tanpa kesan-kesan sampingan yang wujud akibat penggunaan bahan-bahan kimia lain yang terdapat di dalam rokok tradisional. Jika ada, peratusannya adalah sangat sedikit – dan hal ini hampir dibuktikan pada permulaan kajian US Doctor for Africa (USDFA) pada tahun 2009, yang mendapati bahawa agen penyakit kanser yang ada dalam asap rokok tidak wujud dalam rokok elektronik.
Walau bagaimanapun, pada tahun 2012, dua eksperimen telah dijalankan untuk mengkaji perbandingan antara hembusan asap rokok dengan vape. Hasil kajian mendapati bahawa kandungan kimia dalam wap yang dihembus oleh pengguna vape telah mencapai had bahaya bagi manusia dewasa dan mendatangkan risiko kanser.
Namun, menurut kajian lain yang dilakukan oleh USDFA, vape juga dikatakan selamat digunakan dan tidak memberi kesan kepada paru-paru. Hal ini disebabkan kandungan dalam e-liquid adalah bahan yang diwapkan dan masuk ke dalam paru-paru. Bahan-bahan tersebut mirip bahan yang digunakan dalam inhaler yang digunakan untuk pesakit asma atau masalah pernafasan akut. Ini membuktikan bahan dalam e-liquid selamat disedut walaupun kepada pesakit yang mengalami masalah pernafasan.
 USDFA juga telah menjalankan kajian terhadap tikus dan monyet yang didedahkan kepada udara yang tepu dengan wap PG selama 18 bulan (1 setengah tahun). Hasilnya, tiada kesan tidak normal terhadap paru-paru selepas autopsi dilakukan. Hasil kajian juga mendapati bahawa kualiti pernafasan menurun terhadap kumpulan perokok dan bukan perokok, namun tiada perubahan ketara pada kumpulan yang menghadapi penyakit pernafasan seperti lelah dan asma.
Salah satu kelebihan vape adalah perisanya yang pelbagai. Pengguna mampu memilih perisa kesukaan mereka, malah ada yang mencampurkan dua atau lebih perisa untuk mendapatkan rasa yang unik.
Namun, perisa ini juga adalah antara bahan yang diragui tahap keselamatannya. The Flavor and Extract Manufacturer Association (FEMA) telah menilai tahap keselamatan bahan kimia dalam perisa makanan yang kebanyakannya turut digunakan dalam penghasilan perisa vape.
Walau bagaimanapun, hal ini tidak membawa maksud bahan kimia tersebut selamat untuk digunakan dalam industri vape kerana penilaian yang dibuat oleh FEMA adalah untuk makanan yang melalui proses pencernaan, dan tidak seperti vape yang melibatkan wap yang disedut terus ke dalam paru-paru.
Contoh bahan yang mendatangkan kesan buruk kepada pengguna ialah diacetyl. Diacetyl adalah bahan kimia yang memberi rasa lemak atau berkrim. Penggunaannya dalam penghasilan makanan disahkan selamat oleh FEMA dan Food and Drug Administration (FDA) Amerika Syarikat. Namun, ia mampu menyebabkan penyakit  acute on-set bronchiolitis obliterans apabila disedut secara terus. Penyakit ini telah dikesan terhadap pekerja yang bekerja di bahagian penghasilan bertih jagung berperisa mentega yang ruang udara persekitaran tempat kerjanya mengandungi diacetyl. Tambahan lagi, hasil kajian yang dilakukan oleh Dr. Fersalinos dan rakan-rakannya mendapati daripada 159 sampel e-liquid yang diperoleh dari tujuh negara,74.2% daripadanya mengandungi diacetyl dan acetyl propionyl. Hal ini menunjukkan banyak perisa vape menggunakan bahan kimia merbahaya ini.

Menjana pendapatan dengan menjual vape
Terdapat golongan yang bijak mengambil kesempatan menjana pendapatan mereka melalui populariti budaya vaping di Malaysia untuk menjana pendapatan mereka. Baik di kedai mahupun di dalam talian, rata-rata peniaga vape ini tetap mempunyai pelanggan mereka sendiri, apatah lagi jika servis dan kualiti yang diberikan adalah baik.
Cuba anda bayangkan, harga sebotol perisa di dalam pasaran kini berharga antara RM 15-RM 100 bergantung pada kuantiti, itu belum lagi termasuk komponen utama lain seperti mod, bateri, tank dan charger yang mempunyai harga yang berbeza mengikut kehendak dan kemampuan pelanggan.
Malah, melalui sesi temu bual yang dijalankan di sebuah kedai vape di Sungai Dua, Pulau Pinang mendapati bahawa peniaga vape mampu menjana keuntungan RM4,000 hingga ke RM6,000 dalam masa seminggu.
Pada awal September 2015 yang lalu juga telah heboh diperkatakan di laman sesawang Youtube seorang lelaki Malaysia yang membeli satu set vape, dipercayai keluaran khas melalui pembidaan di Kuala Lumpur dengan harga RM17,000 - satu jumlah yang sangat tinggi untuk satu set vape kecil, yang memberikan keuntungan yang lumayan kepada peniaga vape.
Atas alasan apakah membuatkan seseorang sanggup membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk satu set vape? Adakah kerana ia menjadi lambang status? Hal ini kerana alat vape ini sememangnya mahal di pasaran walaupun ada yang menyatakan ia lebih berbaloi jika dibandingkan dengan rokok konvensional.
Namun, vape perlu digunakan untuk tempoh yang lama. Bayangkan jika terdapat penemuan yang menyatakan vape sememangnya membahayakan untuk kesihatan manusia. Pengguna perlu menanggung kerugian yang tinggi.


Waspada membuat keputusan
Pada masa ini, posisi undang-undang dan himpunan bukti kesihatan masih kurang kukuh untuk menyatakan dengan jelas sama ada vape berbahaya kepada kesihatan ataupun tidak. Di dalam dan juga di luar negara, syarikat-syarikat vape telah mengambil langkah terdahulu untuk memasarkan vape kepada pasaran umum, dan autoriti kesihatan nampaknya lambat untuk memberikan respons yang definitif. Oleh itu, pengguna haruslah menggunakan kebijaksanaan sendiri untuk menilai keberkesanan vape sebagai pengganti rokok, atau sesuatu yang memudaratkan mereka dan menambahkan lagi pergantungan mereka kepada nikotin.
Walau bagaimanapun, terdapat negara yang telah mengambil tindakan yang agresif terhadap isu vape ini. Singapura antaranya dengan jelas mengharamkan import, pengedaran, penjualan atau tawaran menjual sebarang produk yang menyerupai produk tembakau di bawah Seksyen 16(1). Vape adalah salah satu prototaip Electronic Nicotine Delivery Systems (ENDS) yang menyerupai produk tembakau dan ia diharamkan di Singapura. Pesalah akan dikenakan tindakan sehingga $5,000 jika disabitkan bersalah. Pelaksanaan undang-undang ini telah dikuatkuasakan oleh Health Sciences Authority (HSA).
HSA telah keluar dengan kenyataan yang menyokong tindakan mereka mengharamkan rokok elektronik. Salah satu kesan vape atau rokok elektronik ini ialah wap halus yang dihasilkan mengandungi 10 bahan kimia yang wujud dalam senarai 65 bahan kimia yang menyebabkan kanser, kecacatan kelahiran atau masalah peranakan yang lain. HSA turut memuatkan kenyataan World Heath Organization (WHO) yang tidak menyokong rokok elektronik sebagai terapi mengurangkan ketagihan kerana kurang bukti saintifik.
Oleh itu, agensi kerajaan Malaysia seperti Kementerian Kesihatan Malaysia sepatutnya bertindak lebih agresif mengenai isu ini bertepatan dengan objektif kementerian untuk membantu seseorang individu untuk mencapai dan mengekalkan satu taraf kesihatan bagi membolehkannya menjalankan kehidupan ekonomi dan sosial yang produktif. Singapura boleh dijadikan contoh.
Jika Malaysia mempunyai pandangan yang berbeza ataupun sama dengan Singapura, kenyataan rasmi yang  komprehensif perlu disertakan untuk mengelakkan salah faham.
Setakat ini, tiada undang-undang khusus mengenai penggunaan vape yang diwartakan di Malaysia dan penjualan vape juga tidak dikawal seperti penjualan rokok. Namun begitu, terdapat kenyataan tidak rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia yang menyatakan bahawa penggunaan vape adalah haram iaitu “… maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah haram. Ini kerana seperti yang kami ‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini…”. Vaping diharamkan kerana ia memudaratkan kesihatan sama seperti rokok biasa.
Ada pendapat yang menyatakan terlalu awal untuk menghukum penggunaan vape. Ini adalah kerana vape mempunyai kesan positif yang dikatakan dapat menggantikan rokok yang jelas kemudaratannya. Namun, kesan negatif penggunaan vape tidak seharusnya dilihat dengan sebelah mata. Dalam ketidakpastian ini, pengguna perlu bijak dan rasional dalam membuat keputusan. Kesihatan perlu dijadikan keutamaan kerana mengelak lebih baik daripada mengubati.

----------
Rujukan
Barrington-Trimis, J. L.(2014), Flavoring in Electronic Cigarettes: An Unrecognized Respiratory Heath Hazard?, American Medical Assosiation.
Electronic addiction: Facts about Electronic Nicotine Delivery Systems. Dicapai Oktober 3, 2015, daripada http://www.hpb.gov.sg/HOPPortal/health-article/674
Fersalinos KE (2014), Evaluation of electronic cigarette liquids and aerosol for the presence of selected inhalation toxins, Oxford University Press.
Lelaki Beli Vape RM17K Dan Jual Helmet RM47K Bukan Calang-calang Orang. (2015, September 11). Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.blogmazeer.com/2015/09/lelaki-beli-vape-rm17k-dan-jual-helmet.html
Lawrence O. (2014). E-cigarettes, Vaping and Youth, American Medical Assciation.
Mushamir Mustafa. (2015, Ogos 12). The Rise Of Vaping − Is It Really A Substitute For Smoking Cigarettes? Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.malaysiandigest.com/features/565162-the-rise-of-vaping-is-it-really-a-substitute-for-smoking-cigarettes.html
Nursyamimi Saidi. (2015, September 1). Cetus budaya tidak sihat? Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/cetus-budaya-tidak-sihat-1.130461
‘Panic over e-cigarettes can harm more than help’ - The Local. (2013, Ogos 30). Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.thelocal.fr/20130830/e-cigarette-warning-could-have-an-adverse-effect-on-health
Parlimen Belia Bakal Usul Desak Kerajaan Perhalusi Isu ‘Vape’. (2015, Ogos 25). Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.selangorpress.com/2015/berita/nasional/parlimen-belia-bakal-usul-desak-kerajaan-perhalusi-isu-vape/
Penggunaan vape haram - Majlis Fatwa Kebangsaan. (2015, Ogos 18). Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penggunaan-i-vape-i-haram-majlis-fatwa-kebangsaan-1.125681
Propylene Glycol safety | Electronic Cigarettes Store. (n.d.). Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://canadavapes.com/health/propylene-glycol-safety.html
Singapore to ban emerging tobacco products from mid-December. Dicapai Oktober 3,2015, daripada http://www.channelnewsasia.com/news/singapore/singapore-to-ban-emerging/1916726.html
Sofea Susan Albert Kassim. (2015, Ogos 19). Status Rasmi Vape Diketahui Dua Bulan Lagi - Majlis Fatwa Kebangsaan. Dicapai Oktober 2, 2015, daripada http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2015/08/19/status-vape/


Calender

« August 2017 »
Mon Tue Wed Thu Fri Sat Sun
  1 2 3 4 5 6
7 8 9 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30 31