Sudah menjadi fitrah manusia ingin dikasihi dan disayangi. Walau bagaimanapun, jika tersalah langkah pasti ia akan membawa padah. Ungkapan “cinta” mudah untuk diucapkan sesama manusia tetapi adakah kita sedar “cinta” juga mampu menjadi punca hadirnya masalah sosial.
Menurut statistik yang diambil daripada artikel Berita Harian bertarikh 25 September 2012, mencatatkan sebanyak 1309 kes remaja lari dari rumah  berpunca daripada cinta.
Menurut pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Prof Madya Dr Intan Hashimah Mohd Hashim faktor utama kes tersebut ialah keperluan naluri yang tidak dipenuhi.
“Keperluan kasih sayang, penerimaan dan persahabatan adalah keperluan utama bagi remaja.
“Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi iaitu mereka tidak menerima kasih sayang dan penerimaan yang mencukupi dari keluarga, mereka mungkin mencarinya dari rakan-rakan dan teman lelaki,” katanya.
Dalam konteks ini, bagi menolak konflik yang dialami dalam keluarga, cinta menjadi faktor yang mendorong remaja untuk bertindak keluar daripada rumah berpunca daripada pemikiran kurang matang remaja yang dianggap penyelesaian terbaik.
Intan Hashimah berkata, pelbagai perubahan dalam kehidupan dari segi fizikal dan pemikiran akan berlaku sehingga sukar bagi ibu bapa memahami perubahan emosi yang dialami remaja.
“Zaman remaja ialah tempoh seseorang berada di peringkat akhir kanak-kanak dan awal dewasa.
“Pada tempoh ini, timbul keinginan untuk mencuba atau memiliki perkara baru selepas melihat rakan sebaya melakukannya. Remaja akan lebih banyak menyelesaikan masalah melalui cara mengikut logik berbanding fakta,” katanya.
Ulas beliau lagi, pemberontakan akan terjadi jika remaja itu tidak dapat menghadapi konflik dalam hidupnya dan terdorong melakukan tindakan di luar kawalan.
Remaja tidak akan memberontak sekiranya mereka mempunyai hubungan positif dan bersikap terbuka dengan keluarga iaitu saling berkongsi bagi sebarang masalah yang dialami.
Remaja harus sedar bahawa lari daripada rumah bukan penyelesaiannya malah akan menimbulkan kebimbangan ibu bapa di samping mewujudkan persepsi negatif masyarakat.
Mengulas lebih lanjut, beliau menegaskan remaja perlu diberi pendedahan atau kefahaman tentang nilai diri dan kepentingan kehadiran mereka dalam keluarga supaya dapat mengelakkan remaja lari daripada rumah.
“Ibu bapa dan pendidik memainkan peranan dalam usaha untuk memahami masalah dan pandangan remaja agar komunikasi yang positif dan terbuka dapat dibentuk.
“Ia bukan sahaja dapat membantu remaja meluahkan masalah dan pandangan malah dapat mengelakkan perasaan terabai oleh keluarga,” katanya.
Tambahnya, komunikasi yang berkesan dalam keluarga mampu memupuk usaha membentuk sahsiah remaja malah mengurangkan gejala kurang sihat dalam kalangan remaja yang sering dikaitkan dengan pergaulan bebas dan pembuangan anak luar nikah.
Statistik daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 November 2011 menyatakan 152,182 kes kelahiran anak luar nikah dilaporkan dalam tempoh 2008 sehingga 2010. Adakah ini disebabkan cinta? Perkara ini terjadi kerana remaja terpengaruh dengan unsur negatif daripada video lucah dan pergaulan bebas.
Perkongsian kisah seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 23, dia digantung sekolah kira-kira sepuluh tahun lalu kerana disyaki melakukan perkara sumbang di dalam bilik darjahnya bersama teman lelaki.
Menceritakan kembali, Siti mempunyai ramai teman sekelas yang rata-rata adalah anak orang kaya serta mengamalkan budaya hidup sosial termasuklah mengandung anak luar nikah.
Lebih kejam, disebabkan takut perkara itu sampai ke pengetahuan keluarga, kandungan itu digugurkan sebelum ditanam di belakang rumah.
Ketika diajukan soalan adakah kerana ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak dengan kemewahan dan kebebasan sehingga perkara itu boleh terjadi, Prof Madya Intan memberi respon bahawa manja bukanlah faktor bagi perkara itu tetapi sejauh mana ibu bapa memberikan perhatian dan bimbingan kepada anak mereka.
“Remaja ialah golongan yang berada di peringkat usia yang memerlukan bimbingan dan teguran bagi memahami tingkah laku serta panduan.
“Komunikasi yang berkesan ialah ibu bapa yang lembut tetapi tegas dalam berurusan dengan anak mereka. Keperluan komunikasi yang jelas penting apabila anak itu menghadapi masalah dan dia tidak ragu-ragu untuk berkongsi dengan ibu bapanya,” katanya.  
Sebagai penyelesaian kepada gejala sosial, perkahwinan di usia muda dilihat mampu mencegah perkara itu daripada terus menular dalam masyarakat. Namun beliau berpendapat, perkahwinan di usia muda hanya menyelesaikan masalah anak luar nikah tetapi itu bukan penyelesaian yang sebenarnya.
Tegasnya, untuk menyelesaikan masalah remaja, cinta dan gejala sosial, hubungan kekeluargaan yang positif dan terbuka perlu wujud di samping cara remaja itu melihat harga dan nilai diri mereka.

 

 

Change Language

Baca E-Paper

 

bk12200