USM mesra pelajar

Oleh Nur Lela Zulkipli dan Shafura Ashikin
 
Kegembiraan terpancar di wajah seorang siswa baru Universiti Sains Malaysia (USM) Sidang Akademik 2012/2013 apabila berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan ilmu pendidikan.
Anak kelahiran Pulau Pinang, Edi Afiq Isa yang berumur 20 tahun tidak menyangka dirinya diterima menjadi salah seorang siswa USM yang sudah menjadi cita-citanya sebelum menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu.
“Saya memilih USM sebagai destinasi pengajian kerana didapati banyak berita yang memaparkan kejayaan USM selain menawarkan banyak kemudahan bagi tujuan pembelajaran.
“Bukan itu saja, saya dapati USM menawarkan kursus yang saya minati dan mempunyai reputasi yang baik dalam bidang pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Seorang lagi siswi jurusan sama, Maizarith Ismail, 19, menyifatkan kemasukannya ke USM kali ini sebagai keputusan yang bijak kerana univerisiti itu mempunyai persekitaran positif yang sesuai untuk pengajiannya.
“Saya khuatir jika saya akan sedih kerana berjauhan dengan keluarga ketika masuk ke USM, namun suasana yang menyenangkan buat saya gembira di sini.
“Persekitaran pembelajaran juga menyenangkan termasuklah perpustakaan yang luas menyediakan pelbagai rujukan sekaligus menjadikan semangat saya semakin berkobar-kobar untuk mula belajar.
“Persekitaran di desasiswa juga membuatkan saya seperti berada di rumah sendiri dengan makanan yang enak dan murah,” katanya lagi.
Seorang lagi siswi, Sherryn Anak Juki yang berasal dari Sarawak berpendapat bahawa pilihannya untuk melanjutkan pengajian ke USM sebagai titik permulaan untuk hidup berdikari.
“Saya sudah bertekad untuk tinggalkan kampung halaman (Sarawak) buat sementara waktu supaya saya boleh belajar berdikari.
“Pada mulanya saya agak takut, namun dengan bantuan siswa-siswi senior dan kawan baru sepanjang minggu orientasi di USM, saya sudah boleh mula berdikari,” katanya.
Sherryn yang mengambil jurusan Teknologi Makanan juga kelihatan gembira apabila bidang yang ingin diceburinya turut ditawarkan di USM di samping dapat mengenali rakan baru yang terdiri daripada pelbagai kaum.